CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, May 20, 2009

Trauma Hamil Sulung




BERKAT kesabaran dan tidak pernah sesekali berputus harap, akhirnya aktres berbakat besar yang semarak mengembang dalam dunia lakonan, Noorkhiriah, 33, hamil sekali lagi. Berita gembira ini diterima setelah dia mengalami keguguran, dua tahun lalu.

Noorkhiriah yang dahagakan anugerah memiliki cahaya mata kini mampu tersenyum girang kerana impian untuk memperolehi anak yang dapat melengkapkan keluarganya menjadi kenyataan.

Diam tak diam kandungan Noorkhiriah sekarang mencecah usia tiga bulan setelah melayari bahtera dengan insan tersayang, Azfaidzul Antan atau Faizul pada 11 November 2006.

"Alhamdulillah, kandungan saya sihat, cuma perut saya belum nampak apa-apa lagi. Agaknya anak saya tidak suka glamor. Dia seolah-oleh menyorok di dalam," katanya berseloroh semasa ditemui di Hotel Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pelakon yang berasal dari Raub, Pahang itu berkata, dia mendapat perkhabaran diri hamil sebelum berangkat menunaikan umrah bersama suaminya.

"Waktu itu saya takut juga untuk ke sana sebab keadaan yang sesak dengan umat Islam lain yang ingin mengerjakan ibadat, berhabuk dan cuaca tidak menentu. Saya mula khuatir macam-macam kejadian boleh berlaku.

"Setelah berbincang dengan suami maka saya nekad untuk melawat ke rumah Allah dan hanya berserah terhadap nasib saya dan kandungan baru ini.

"Walaupun kandungan baru memasuki usia empat minggu tetapi saya kena berhati-hati dan tidak boleh bergerak bebas macam orang lain.

"Syukur sangat sebab sampai sahaja di sana, saya dapat menjalankan ibadat dengan lancar tanpa menghadapi sebarang masalah.

"Bayangkanlah dalam keadaan mengandung saya dapat juga mengucup Hajar Aswad serta melakukan tawaf. Walaupun semasa sedang bersembahyang, saya kena langgar namun Allah memberikan jalan yang mudah kepada saya.

"Cuma apabila sampai di Malaysia saya mula mengalami pendarahan yang banyak sehingga menakutkan saya. Nasib baik semuanya berada dalam keadaan selamat," jawab Noorkhiriah yang berada di sana selama 10 hari bermula 23 Mac lalu.

Implikasi daripada masalah kecil itu, badan Noorkhiriah jadi tidak bermaya untuk membuat sebarang kerja seharian termasuk meneruskan penggambaran.




REZEKI untuk menimang cahaya mata bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

--------------------------------------------------------------------------------


Sedangkan dia harus menyelesaikan drama bersiri yang kini sedang hangat ditayangkan di kaca televisyen.

"Disebabkan terlalu sakit saya akan mencari tempat untuk berbaring di lokasi penggambaran jika ada waktu terluang.

"Setelah mula mengalami masalah akibat kehamilan ini, saya mula mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia lakonan sejak beberapa hari lalu.

"Nasib baiklah kerja penggambaran sudah dihabiskan. Kini saya hendak berehat dengan secukupnya bagi menjaga kandungan ini," akui Noorkhiriah sambil tertawa manis.

Berikhtiar cara Islam

Noorkhiriah baru-baru ini menjadi tetamu program Semanis Kurma yang dikendalikan pasangan Ustaz Akasyah dan Ustazah Bahyah.

Dalam program itu, Noorkhiriah tanpa segan silu meminta petua dan doa khusus dalam usahanya mendapatkan zuriat.

"Selepas keguguran dahulu saya tidak pernah mengandung lagi. Jadi saya sempat minta kalau ada doa khusus untuk dapatkan zuriat atau sebarang panduan untuk saya mengandung semula.

"Selain bertemu doktor, saya juga berusaha dengan berikhtiar cara mengikut kehendak agama kita. Dengan kuasa Allah, impian saya untuk mengandung semula akhirnya dimakbulkan," kata Noorkhiriah teruja.

Berhati-hati jaga kandungan

Pernah mengalami masalah keguguran kandungan sebelum ini, membuatkan pemilik nama lengkap Norkhiriah Ahmad Shafie kini lebih berhati-hati agar insiden sama tidak berulang kembali.






Beritahu Noorkhiriah, dia mengambil keputusan untuk merehatkan diri bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini kepada kandungannya.

"Lima bulan selepas mendirikan rumah tangga saya terus mengandung. Disebabkan tidak mengetahui dengan lebih lanjut tentang cara penjagaan kandungan saya terus mengalami keguguran.

"Ada yang cakap mungkin rahim saya sudah kembang akibat saya tidak berpantang kerana sibuk berlakon selepas keguguran dahulu.

"Kini saya ingin lebih berjaga-jaga dengan kandungan ini. Untuk hamil sekali lagi bukannya satu perkara yang mudah kerana saya perlu menunggu untuk tempoh masa yang panjang.

"Doktor menyarankan kepada saya supaya berhenti berlakon sementara apabila kandungan saya sudah masuk tiga bulan.

"Dalam waktu ini pelbagai kejadian yang tidak diingini boleh menimpa kepada saya. Setelah berehat dan usia kandungan saya masuk lima bulan barulah saya boleh kembali berlakon.

"Memanglah saya masih boleh berlakon sekarang dengan usia kandungan tiga bulan tetapi saya sekadar mengikut nasihat doktor.

"Walaupun diberikan watak yang ringan dan tidak memerlukan sepenuh komitmen namun saya terpaksa menolak juga tawaran yang datang.

"Suami juga tidak terkecuali memantau keadaan saya yang sedang menjadi pembawa budak. Betul juga cakap orang bahawa wanita yang mengandung memang dimanjakan secara berlebih-lebihan

"Hendak memandu kereta dalam keadaan sekarang pun, saya takut inikan pula untuk melakukan kerja lain yang lebih berat.

"Sekarang saya lebih selesa menyarungkan seluar yang longgar kalau hendak ke mana-mana.

"Pengalaman lepas mengajar saya untuk lebih menghargai kandungan yang merupakan nikmat tidak terhingga daripada Allah," ungkap Noorkhiriah lagi.





KANDUNGAN baru berusia tiga bulan, belum merobah bentuk badan Norkhairiah.

--------------------------------------------------------------------------------


Menjelaskan tentang niat Noorkhiriah yang ingin berlakon selepas kandungannya mencecah lima bulan dia berkata, tiada salahnya kalau dia ingin meneruskan tanggungjawabnya sebagai anak seni walaupun perut sedang memboyot.

"Kalau setakat berlakon dalam satu-satu produksi untuk satu atau dua hari, memanglah saya tidak berdepan dengan sebarang masalah.

"Cuma kalau mengambil masa terlalu panjang, maka memang saya tak berani terima. Bahkan saya ada juga menerima tawaran berlakon di Sabah dan Sarawak namun saya terpaksa menolak.

"Biarlah saya terlepas peluang ini asalkan kandungan saya sihat sekali gus dapat menunaikan impian saya untuk mempunyai cahaya mata sendiri bagi menyerikan rumah tangga kelak," ujar Noorkhiriah yang semakin berseri-seri wajahnya bergelar wanita sempurna.

0 bebelan: